Thursday, August 27, 2009

Sejarah ~NEGARAKU~ dan ~JALUR GEMILANG~

SEJARAH LAGU [NEGARAKU]

Lagu Negaraku (Jawi: نڬاراکو, bahasa Cina: 我的祖国, Tamil:நெகாராகூ) dipilih daripada lagu rasmi negeri Perak yang berasal daripada Pulau Mahé di Kepulauan Seychelles, telah dibawa pulang oleh Sultan Abdullah setelah Baginda selesai menjalani hukuman dibuang negeri ke Kepulauan Seychelles, kerana didakwa bersubahat membunuh Residen British, JWW Birch. Lagu ciptaan penggubah Perancis, Pierre Jean de Beranger (1780-1857) ini, kemudiannya telah diberikan seni kata baru dan dinamakan "Allah Lanjutkan Usia Sultan" seterusnya dijadikan lagu rasmi Negeri Perak Darul Ridzuan.
Lagu rasmi negeri Perak "Allah Lanjutkan Usia Sultan" ini telah dipilih menjadi lagu kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu oleh jemaah hakim yang diketuai oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 5 Ogos 1957. Upacara pemilihan lagu kebangsaan ini berlangsung di Dewan Polis Depoh, Kuala Lumpur.
Sebanyak 4 buah lagu telah diperdengarkan oleh Pasukan Pancaragam Polis Diraja. Lagu Allah Lanjutkan Usia Sultan telah terpilih. Keputusan jemaah hakim ini kemudian telah dikemukakan kepada Majlis Raja-raja Melayu.
Setelah dipersetujui, kerajaan telah mengeluarkan tawaran RM1,000 kepada pengubah untuk mencipta seni katanya. Tawaran ini telah dimenangi oleh Encik Saiful Bahri dan lagu kebangsaan 'Negaraku' gubahan beliau terdapat dalam 3 versi.
Lagu Negaraku telah ditukar rentak kepada rentak yang lebih rancak oleh Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, Perdana Menteri Malaysia ke-4. Lagu Negaraku berentak baru dipersembahkan buat kali pertama pada sambutan Ambang Merdeka di Dataran Merdeka tengah malam 30 Ogos 2003.
Lagu Negaraku berentak baru itu dimainkan selepas Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun Dr. Mahathir bin Mohamad melaungkan "Merdeka" sebanyak tujuh kali.
Lirik Negaraku berentak baru masih sama. Cuma permulaan lagu itu perlahan seperti irama lagu Negaraku yang asal dan selepas itu, pergerakannya akan bertambah laju.
Sejarah
Pada tahun tahun 1956 semua negeri di Tanah Melayu mempunyai lagu kebesarannya sendiri. Walau bagaimanapun, belum ada sebuah lagu kebangsaan yang merangkumi bagi seluruh negara. Y.T.M. Tunku Abdul Rahman yang menjadi Ketua Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri pada ketika itu telah membuat ketetapan agar sebuah lagu kebangsaan dicipta sebelum merdeka. Beliau mencadangkan agar diadakan satu pertandingan mencipta lagu kebangsaan. Hasilnya sebanyak 514 buah lagu telah diterima dari seluruh dunia. Namun demikian tidak ada sebuah lagu dari 514 lagu yang dikemukakan yang dianggap sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan.
Jawatankuasa ini kemudian berpendapat satu cara lagi untuk memperolehi lagu kebangsaan yang baik ialah dengan menjemput beberapa penggubah lagu yang ternama untuk menciptanya. Dengan itu jawatankuasa ini membuat keputusan mempelawa beberapa penggubah lagu yang masyhur bertaraf antarabangsa untuk mencipta khas lagu kebangsaan ini. Mereka yang dijemput khas untuk menggubah lagu kebangsaan ini adalah terdiri daripada Benjamin Britten, Sir William Walton yang menggubah lagu perbarisan untuk permahkotaan Ratu Elizabeth II, penggubah opera Amerika Gian Carlo Menotti dan Zubir Said. Namun, hasil gubahan mereka juga ditolak.
Akhirnya Jawatankuasa ini membuat keputusan untuk mendengar kesemua lagu negeri yang sedia ada bagi mengenalpasti sama ada di antara lagu-lagu kebesaran negeri ini ada yang sesuai untuk dijadikan lagu kebangsaan negara. Setelah mendengar kesemua lagu negeri, Lagu Kebesaran Negeri Perak adalah sangat sesuai untuk dijadikan sebagai lagu kebangsaan negara.
Lagu ini telah popular di Mahe, Kepulauan Seychelles di mana bekas Sultan Perak, Sultan Abdullah menetap dalam buangan. Mengikut mereka lagu tersebut sangat popular di pulau tersebut dan selalu dimainkan oleh Pancaragam Perancis yang biasanya memainkan pelbagai lagu dan membuat pertunjukkan konsert untuk orang ramai di pulau berkenaan. Adalah dipercayai melodi ini telah digubah oleh seorang ahli Muzik bangsa Perancis bernama Pierre Jean de Beranger yang lahir di Perancis pada tahun 1780 dan meninggal dunia pada tahun 1857.
Lagu ini kemudiannya telah diperkenalkan oleh Bangsawan dari Indonesia yang sedang membuat pertunjukan di Singapura. Dalam tempoh yang singkat lagu ini telah menjadi popular di Singapura dan diberi nama Terang Bulan. Walaupun lagu ini menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak namun ia dimainkan juga di majlis-majlis sebagai lagu hiburan. Pada masa itu lagu ini terus menjadi Lagu Kebesaran Negeri Perak sehingga dijadikan Lagu Kebangsaan Malaysia dengan nama Negaraku. Selepas itu irama ini tidak lagi dijadikan sebagai lagu hiburan kerana dilarang.
Lirik
Rumi
Negaraku
Tanah tumpahnya darahku,
Rakyat hidup
bersatu dan maju,

Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan,
Raja kita
selamat bertakhta,

Rahmat bahagia
Tuhan kurniakan.
Raja kita
selamat bertakhta
Jawi
نڬاراكو
تانه تومڤهڽ دارهكو
رعيت هيدوڤ
برساتو دان ماجو

رحمة بهاڬيا
توهن كورنياكن
راج كيت
سلامت برتختا

رحمة بهاڬيا
توهن كورنياكن
راج كيت
سلامت برتختا
Lagu Negaraku dalam rentak baru kurang popular. Malah ada yang menyamakan tempo lagu baru seperti lagu sirkus. Pada Julai 2003 akhbar Malaysia menyatakan bahawa lagu Negaraku akan ditukar sekali lagi dan liriknya akan ditukar dari Negaraku kepada Malaysiaku. Terdapat bantahan ramai dan pertukaran nama dibatalkan, tetapi lagu Negaraku diubah dan dikembalikan kepada tempo pra-1992 oleh pengubah Wah Idris.
Peraturan
Peraturan memainkan lagu "Negaraku" adalah termaktub dalam Akta Lagu Kebangsaan 1968.



SEJARAH JALUR GEMILANG




Jalur gemilang yang ada di negara kita kini, yang sering dikibarkan dan dibanggakan sebenarnya telah wujud beberapa tahun sebelum negara mencapai kemerdekaan. Sejarah sepintas lalu ada merekodkan bahawa jalur gemilang wujud melalui satu pertandingan mereka cipta bendera peringkat kebangsaan yang telah dikelolakan oleh Jawatankuasa Khas dan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu iaitu Sir Alec Newboult yang dianjurkan bagi mencari lambang kewujudan kerajaan Persekutuan.
Pada 15 November 1949, jawatankuasa ini telah mengemukan sebanyak 373 reka bentuk bendera kepada Majlis Perundangan Persekutuan untuk pertimbangan dan pemilihan. Tiga calon akhir telah dipilih membabitkan lambang keris bersilang dikelilingi 11 bintang pecah lima, reka bentuk yang kedua pula mempertaruhkan reka bentuk hampir serupa kecuali 11 bintang pecah lima membentuk dua bulatan mengelilingi keris bersilang.






Namun, rekaan ketiga ciptaan arkitek Jabatan Kerja Raya Johor, Mohammed Hamzah yang memperlihatkan sebelas jalur biru putih dengan bulan dan bintang berwarna putih di bahagian tepi kiri telah menarik perhatian juri dan perkenan Majlis Raja-Raja yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari 1950.
Namun begitu, terdapat beberapa pindaan dibuat sebelum kekal dengan bentuk asal seperi sekarang. Antaranya cadangan Sultan Kedah yang meminta warna putih untuk bulan dan bintang ditukarkan kepada warna kuning tanda mewakili warna diraja. 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan menerusi Majlis Raja-Raja Melayu meluluskan usul yang dibentangkan. Pada 26 Mei 1950, bendera tersebut dikibarkan buat pertama kalinya di Istana Sultan Selangor, Kuala Lumpur pada pukul 9.30 pagi dan disaksikan wakil sultan seluruh Tanah Melayu
Ilham untuk menamakan bendera ini Jalur Gemilang diusulkan oleh Datuk Hashim Mat Idris. Cadangan itu dikemukan kepada mantan Perdana Menteri iaitu Tun Dr. Mahathir pada 11 Julai 1995.





MAKSUD DAN LAMBANG WARNA JALUR GEMILANG
• Lambang jalur pada bendera melambangkan satu laluan lurus, hala tuju dan arah yang sama yang dianuti rakyat Malaysia.
• Gemilang bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Jalur Gemilang melambangkan kecemerlangan negara dan rakyat Malaysia dalam mengharungi suasana kehidupan dengan penuh gigih, taat dan bersatu padu bagi menjaga nama dan menaikkan imej negara.
• Warna merah pada jalur melambangkan kesanggupan, keberanian, kegagahan, dan kegigihan rakyat Malaysia menghadapi cabaran dan dugaan hidup
• Warna putih pula melambangkan keluhuran dan keikhlasan
• Warna biru melambangkan perpaduan hidup yang rukun dan damai
• Warna kuning melambangkan kesetiaan rakyat kepada raja dan negara.

No comments:

Post a Comment