Thursday, August 27, 2009

Kebanggaan anak Malaysia..!!!

Setelah Malaysia mencapai kemerdekaan secara rasminya pada 31 Ogos 1957, Malaysia telah mengalami perubahan dan kemajuan yang mendadak dari segi pembangunan, pendidikan dan yang paling penting corak kehidupan rakyat Malaysia yang telah berubah ke arah yang lebih baik. Nenek moyang kita dahulu bertungkus-lumus melawan penjajah demi mendapatkan kehidupan yang lebih baik untuk cucu-cicit mereka kini.
Kini, tanggal 31 Ogos 2009, Malaysia akan menyambut hari kemerdekaan yang ke-52, tanda sudah 52 tahun negara kita bebas dari penjajah-penjajah yang kejam dan tidak berhati perut. Mutakhir ini, setelah lebih kurang separuh abad mencapai kemerdekaan, pastinya telah banyak kejayaan rakyat Malaysia yang boleh dibanggakan.

PENCAPAIAN ANAK MALAYSIA KE ANGKASA LEPAS



Antara pencapaian anak Malaysia yang kini dapat mebanggakan Malaysia ialah kejayaan angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Al Masrie bin Sheikh Mustapha. Beliau yang dilahirkan pada
27 Julai 1972 merupakan seorang pakar ortopedik di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia(HUKM), yang kini telah melakar sejarah dalam dirinya dan juga untuk Malaysia apabila telah menjadi angkasawan Malaysia pertama ke angkasa lepas selepas diumumkan oleh Dato' Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pada 25 September 2007(Selasa) tepat jam 12.00 tengah hari.
Beliau telah terpilih menjadi angkasawan apabila beliau telah mendaftarkan diri dengan pelbagai kelayakan akademik, ketahanan fizikal, emosi, dan mental untuk memohon dalam Program Angkasawan Malaysia. Dan, berkat doa dan kesabaran serta usaha gigihnya yang tidak pernah mengenal erti putus asa telah melayakkan beliau menjadi antara calon terakhir yang terpilih.
Beliau dan tiga lagi calon lain telah terpilih menjadi antara calon yang terakhir yang telah diberi peluang menimba ilmu dan pengalaman serta menjalani latihan di
Star City, Russia. Akhirnya, beliau telah berjaya menjadi calon utama Angkasawan Pertama Malaysia, manakala Dr. Faiz Khaleed telah menjadi calon angkasawan simpanan.
Jelaslah,beliau merupakan salah satu contoh kejayaan anak bangsa Malaysia yang boleh dijadikan contoh oleh generasi kini. Segala kejayaan bisa menjadi milik anda sekiranya ada usaha gigih, sifat ingin maju, memperbaiki diri untuk menjadi insan terbaik dan serba boleh. Menjadi antara angkasawan pertama Malaysia yang dihantar ke angkasa, Sheikh muszaphar shukor yang petah berbicara, manis wajah dengan senyuman serta genius berkaliber orangnya, kini menjadi sanjungan dan kebanggaan orang Malaysia.syabas.!!!





PENCAPAIAN ANAK MALAYSIA DALAM BIDANG SUKAN



Seterusnya, daripada kejayaan angkasa lepas, kita beralih pula ke arah pencapaian seorang anak Malaysia yang kini kian dikenali dan diminati ramai anak muda kini. Siapa yang tidak kenal anak Malaysia ini yang telah banyak membanggakan negara Malaysia. Siapa lagi kalau bukan Datuk Nicol Ann David yang bergitu terkenal dan masyhur dalam permainan skuasy negara dan juga merupakan pemain nombor satu dunia yang telah mengenalkan Malaysia yang kecil ini ke seluruh dunia.



Beliau yang telah dilahirkan di Pulau pinang pada 23 Ogos 1983 bukan sahaja pemain nombor satu dunia malah merupakan orang asia pertama yang memenangi gelaran itu.
Beliau juga satu-satunya pemain skuasy yang menjuarai Kejohanan Remaja Dunia. Setelah tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia, beliau telah memperoleh keputusan yang cemerlang, namun kerana minat yang mendalam terhadap permainan skuasy, beliau berlatih skuasy di Amsterdam, Belanda. Beliau juga telah menjuarai Kejohanan Skuasy Asia sebanyak lima kali iaitu pada tahun 1998, 2000, 2002, 2004, dan 2006. Hal ini sekaligus telah melonjakkan nama beliau di mata dunia. Pada 4 Disember 2005 pula, beliau telah berjaya mengalahkan Rachael Grinham yang telah menjadikan beliau juara termuda yang memenangi Kejohanan Skuasy Dunia.
Nicol telah menjadi penerima pertama anugerah Darjah Bakti(D.B) di Malaysia sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin pada Jun 2008.
Kejayaan anak Malaysia ini wajar dijadikan contoh kepada generasi muda kini dan mampu membuka mata masyarakat luar bahawa Malaysia juga mampu melahirkan pemain bertaraf dunia.



KEJAYAAN ANAK MALAYSIA MENJELAJAH NEGARA





Habis dunia sukan dan angkasa lepas diteroka, kini kita lihat pula tentang seorang tokoh yang bernama Datin Paduka Sharifah Mazlina Syed Abd Kadir. Mungkin ramai yang sudah mengenali beliau sebagai penjelajah negara yang telah menjejakkan kaki di Last Degree atau paksi bumi iaitu bahagian bumi paling utara.
Persiapan selama dua tahun dan perjalanan selama 10 hari telah dilalui oleh beliau dengan penuh cekal dan semangat juang yang tinggi. Beliau merupakan seorang yang kuat dari segi fizikal mahupun mental dan pada tahun 2004, beliau telah berjaya menjelajah kutub selatan yang telah menyebabkan beliau mula dikenali dan mula mendapat tempat di hati rakyat.



Generasi kini sepatutnya mengambil iktibar dari kejayaan beliau dan menjadikan kejayaan ini sebagai pendorong dan pembakar semangat kepada kejayaan di masa depan supaya nama Malaysia terus utuh terpahat di hati dunia.
Dua tahun bersusah payah, menepis pelbagai gosip dan mengharungi ujian yang bukan calang-calang akhirnya hajat untuk menakluk Antartika menggunakan kaedah meluncur ski secara solo berjaya dicapai.
Tarikh 29 Disember 2004 menyaksikan wanita kental ini menamatkan ekspedisi solonya tepat pukul 10.45 malam waktu Malaysia, 10 hari lebih awal dari jadual.
Kejayaan tersebut turut mencatat rekod baru yang melayakkan beliau muncul sebagai wanita pertama Asia meluncur ski secara solo di Antartika dalam masa 22 hari bermula dari Kutub Selatan sehingga melepasi garisan penamat di Hercules Inlet. Kejayaan tersebut juga telah diiktiraf oleh Ekspedisi dan Logistik Antartika (ALE), iaitu badan yang mengurus dan mengendalikan ekspedisi itu. Kejayaan yang diperoleh bukan mudah untuk dikecapi, beliau telah mengalami kecederaan di lutut dan buku lali setelah terjatuh sebanyak empat kali lalu terpaksa menangguhkan perjalanan selama beberapa hari dan akhirnya berjaya merealisasikan ekspedisinya itu sekali gus mencipta nama menjadi wanita Asia pertama berjaya merentasi Antartika secara solo menggunakan kaedah meluncur ski.

PENCAPAIAN ANAK MALAYSIA MENGELILINGI DUNIA DENGAN BELAYAR





Seterusnya, kita lihat pula sumbangan anak Malaysia dalam melakukan pelayaran untuk mengelilingi dunia. Datuk Azhar Mansor merupakan rakyat Malaysia pertama yang berjaya mengelilingi dunia. Pada mulanya Datuk Azhar Mansor bercadang untuk melakukan pelayaran tersebut dalam tempoh kurang 100 hari, tetapi beliau telah menghadapi masalah berkaitan tiang layar yang patah ketika berada di Cape Horn, Amerika Selatan. Bagaimanapun Datuk Azhar Mansor telah berjaya melakukannya dalam masa 190 hari. Kegigihan Datuk Azhar Mansor adalah contoh unggul Semangat Malaysia Baru. Datuk Azhar Mansor yang berusia 41 tahun ketika berangkat pada 2 Februari 1999 itu telah belayar dengan kapal layarnya bernama Jalur Gemilang yang berharga RM2 juta. Pelayaran yang mengambil masa selama 104 hari pada tahun 1999 dengan pelbagai dugaan dan rintangan, tetapi dengan tekad Malaysia Boleh Beliau telah berjaya mengatasinya dengan penuh tabah bersama kapal layarnya yang dinamakan Jalur Gemilang.
Datuk azhar Mansor telah berjaya mencipta rekod baru melalui laluan Eastabout yang tidak pernah dilalui oleh sesiapa pun sebelum ini mahupun pelayar terkenal dunia tetapi Datuk Azhar telah membuktikan keberaniannya dengan semangat Melayu Boleh atau Malaysia Boleh dan telah diiktiraf oleh WSSRC (World Speed Sailing Record Council) sebagai rekod rasmi. Beliau adalah salah seorang dari beberapa orang di dunia ini belayar mengelilingi dunia secara solo tanpa henti and merupakan orang pertama Asia yang melakukannya selain daripada Jepun. Kurang daripada 150 orang sahaja yang berjaya melakukannya dan beliau telah diiktiraf dalam dunia pelayaran dan meletakkan Negara Malaysia setaraf dengan negara barat yang lain di dalam dunia pelayaran.
Kini, beliau mengusahakan Telaga Harbour Park di Langkawi. Ia merupakan salah satu marina yang terbaik di Malaysia. Keperwiraan Datuk Azhar Mansor adalah sesuatu yang boleh dibanggakan oleh setiap rakyat Malaysia. Baginya, usaha dan kegigihannya dalam mengharungi badai dan ombak adalah sebagai sumbangannya sebagai anak merdeka yang tidak berpeluang merasai pahit jerih rakyat yang hidup pada zaman sebelum merdeka.



PENCAPAIAN DAN KEJAYAAN ANAK MALAYSIA DALAM PENDIDIKAN


Sudah 52 tahun kita bebas dari penjajah yang tidak jemu-jemu menyusahkan negara kita. Namun, ada satu perkara yang telah ditekan dan sangat di beri perhatian sejak dahulu lagi malahan sebelum merdeka lagi iaitu pendidikan. Tanpa pendidikan yang cukup, kita tidak mampu untuk memajukan negara kita. Kerajaan sanggup membelanjakan jutaan ringgit hanya untuk pendidikan di negara kita.mengapa?? kerana pendidikan merupakan satu aspek yang sangat penting untuk membangunkan negara dan juga untuk pembentukan modal insan. Tidak hairanlah jika pelajar-pelajar generasi kini berlumba-lumba untuk menimba ilmu dan bersungguh-sungguh untuk berjaya.kalau dulu, pendidikan hanya untuk anak melayu menjadi pegawai-pegawai kecil. Kini, anak-anak muda menuntut ilmu untuk bersaing dengan masyarakat luar demi memajukan negara. Antara tokoh pendidikan di Malaysia, tidak asing lagi di pendengaran kita iaitu Amalina Che Bakri yang memperoleh 17A1 dan Azali Azlan yang memperoleh 21A1

NUR AMALINA CHE BAKRI



Nur Amalina Che Bakri adalah merupakan anak tunggal kepada pasangan Sabariah Hassan seorang guru dan bapanya Che Bakri seorang jurutera DBKL. Beliau mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM 2004 dengan memperoleh 17A1. Nur Amalina berjaya mendapat A1 dalam 17 mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, matematik Moden, Biologi, Kimia, Fizik, Ekonomi Asas, Perdagangan, Prinsip Akaun, Sains Teras, Pendidikan Seni, Tasawur Islam, Kesusasteraan Melayu, Bahasa Inggeris Teknologi, Pendidikan Islam dan Matematik Tambahan. Beliau bercita-cita untuk menjadi pakar perbidanan dan sakit puan

Beliau belajar dan mengulangkaji pelajaran melalui televisyen dan internet. Beliau meminati program-program realiti televisyen seperti siri Fear Factor, The Apprentice, National Geographic dan Discovery Channel kerana beliau sukakan sesuatu yang mencabar dan menjadi inspirasi lepada beliau. Beliau sentiasa melayari intenet untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini dalam pelbagai perkara serta mempunyai kenalan terdiri dari pelajar luar negara untuk bertukar-tukar pandangan dan pendapat.
Beliau mendapat pendidikan awal di Tadika Farley’s Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Rendah Kebangsaan Zainab 1, Kota Bharu (darjah 1), Sekolah Kebangsaan Taman Suria, Johor Bharu (darjah 2-4), Sekolah Kebangsaan Taman Daya, Johor Bharu (darjah 5) dan Sekolah Kebangsaan Ulu Tiram (darjah 6). Beliau pernah menyertai 50 pertandingan seperti sayembara puisi dan lagu, pidato, syarahan, bercerita, kuiz, melukis, menggubah, bersajak dan pernah dimahkotakan sebagai Tokoh Nilam Peringkat Kebangsaan 2004 serta Johan Pidato Permodalan Nasional Berhad. Beliau juga merupakan Naib Pengerusi Kelab Bimbingan dan Kaunseling, Setiausaha Persatuan St. John Ambulans, Setiausaha Pasukan Rumah Kuning, Naib Bendahari Kelab Pencegah Jenayah dan Ketua Pasukan Badminton sekolah semasa beliau di tingkatan 1 hingga tingkatan 5. Semangat dan cita-citanya yang tinggi untuk mencapai kejayaan tidak menghalang beliau bergiat aktif dalam bidang kokurikulum.
Kejayaan beliau dalam peperiksaan SPM 2004 juga adalah berasaskan kepada inisiatif beliau yang suka berjumpa guru untuk berbincang mengenai pelajaran serta mempunyai keyakinan yang kuat untuk berjaya. Beliau akan melanjutkan pengajian peringkat A-Level di United Kingdom pada September 2005 dalam bidang perubatan yang amat beliau minati. Pengajian beliau akan dibiayai sepenuhnya oleh Bank Negara Malaysia.
Beliau pernah terpilih untuk mengikuti Program Pertukaran Pelajar ke Itali anjuran American Field Service pada 5 Disember 2004 sehingga 5 Februari 2005 dan kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk mempelajari bahasa Itali serta menjadi duta kecil Malaysia di sana. Beliau juga terpilih antara 11 penerima Anugerah Maulidur Rasul 1426 peringkat Kebangsaan dan juga merupakan Duta Akademik Berita Harian.

AZALI AZLAN



Azali telah meraih 20 1A dalam matapelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Sains, Pendidikan Islam, Fizik, Kimia, Biologi, Geografi, Matematik Tambahan, Ekonomi Asas, Perdagangan, Prinsip Perakaunan, Bahasa Arab Tinggi, Kesusasteraan Melayu, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah, Tasawwur Islam serta Pendidikan Seni Visual. Di samping itu Azali mendapat 2A dalam mata pelajaran English for Science and Technology (EST).Azali yang juga merupakan Tokoh Nilam Kebangsaan 2007 adalah satu-satunya calon yang mengambil 21 subjek dalam peperiksaan SPM 2007. Sebelum ini beliau mendapat keputusan lima A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan sembilan A dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR).Anak pasangan guru sekolah menengah, Azlan Othman, 51, dan Rozita Sanapi, 46, dari Tikam Batu, Sungai Petani ini berkata pengambilan 21 subjek ini adalah pilihannya sendiri dan disokong ibu bapa serta guru. Ayahnya mengajar matapelajaran Kemahiran Hidup dan Sains Pertanian di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdul Kadir di Kepala Batas dan ibunya pula mengajar subjek Kemahiran Hidup dan Katering di Sekolah Menengah Kebangsaan Haji Ahmad Badawi.Mengenai resipi kejayaannya, Azali berkata, beliau berpegang kepada pendirian sabar dalam menghadapi segala dugaan kerana yakin setiap kesusahan akan ada kesenangan. Azali mengakui keyakinannya pernah tergugat dalam menghadapi cabaran 21 mata pelajaran, tetapi beliau membina kembali keyakinan itu menerusi perbincangan dengan kaunselor dan ahli keluarga.Azali Azlan percaya kesabaran dan ketekunan belajar menjadi kunci kepada kejayaannya memperoleh keputusan 20 1A dan satu 2A dalam peperiksaan itu. Menurut anak kelahiran Butterworth itu, sikap tersebut terbukti berjaya membina kekuatan dalaman dalam dirinya bagi menghadapi sebarang cabaran yang mendatang.Beliau tidak pernah mengikuti tuisyen khusus, sebaliknya hanya menyertai tuisyen di sekolah untuk mata pelajaran Kimia dan Prinsip Perakaunan. Beliau juga belajar sendiri sembilan subjek yang tidak diajar di sekolah.Azali memberitahu, dia tidak mempunyai jadual belajar yang lengkap seperti sesetengah pelajar lain kerana kalau ada jadual beliau akan berasa tertekan sebab perlu mengikutinya. Sebaliknya beliau belajar apabila beliau rasa ada semangat untuk belajar.

1 comment: